Rabu, 4 Julai 2012

Kelebihan Bulan Syaaban




Assalamualaikum. Masa berlalu bagitu pantas. Sedar-sedar kita sudah berada di bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadhan. Kesibukan dengan tugas harian kadang-kadang melalaikan kita dari menghayati dan seterusnya beramal dalam bulan yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang banyak ini. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran ke mana-mana tempat untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua. Sebahagiannya pula mengatakan sebab diertikan demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan. Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban itu tadi dapatlah disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui". Baginda bersabda : "Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama). Keutamaan Bulan Syaaban Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya : "Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan. Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya : "Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya." Amalan-amalan di bulan Syaaban Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah : 1. Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid." 2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit. " (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin) 3. Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Semuga dengan sedikit tazkirah ini dapat mengingatkan diri kita supaya merebut peluang beramal sebanyak yang mungkin dalam bulan-bulan yang banyak keistimewaan ini. wassalam

Kelebihan bulan Syaaban & malam Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran.








Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari).





Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari).
Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari).

Abdullah bin Maslamah menyampaikaan kepada aku dari Malik, dari Ibnu Syihab, dari Abi Salamah dan ayahku Abdullah Al-Agharry, dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah saw bersabda (bermaksud) “Tuhanku tabaaraka wa taala turun ke langit dunia setiap malam bila tinggal 1/3 akhir malam dan berfirman: Mana orang yang berdoa kepada aku, untuk Aku memperkenankan doanya ? Mana orang yang meminta kepada Aku, untuk Aku berikan kepadanya ? Mana orang yang memohon keampunan Ku, untuk Aku mengampuninya ? (Hadis Sahih No. 1145 riwayat Imam Al-Bukhari).
Di dalam Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari di atas, tidak disebut secara khusus puasa sunat hari Nisfu Syaaban ie. 14 atau 15hb Syaaban, namun disebut secara khusus berpuasa sunat pada 13, 14 dan 15hb setiap bulan yang mana termasuklah didalamnya hari pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban). Di dalam hadis Sahih Al-Bukhari diatas juga tidak disebut secara khusus berqiamullail malam Nisfu Syaaban, tetapi disebut berqiamullail disetiap malam, dan yang mana ini termasuklah malam pertengahan Syaaban (nisfu Syaaban).






Adapun berqiamullail pada malam Nisfu Syaaban dan berpuasa pada siang harinya, dengan secara khusus menyebut kalimat “Nisfu Syaaban”, status hadis-hadisnya (sahih, hasan sahih, hasan, dhaif, maudhuk dll) adalah menjadi perbincangan akademik para ulamak hadis. Jika tidak mencapai ke tahap Sahih, ia tidak boleh dijadikan hujah Syarak, namun jika dipadankan dengan Hadis-hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari diatas, ia boleh dijadikan panduan untuk Fadhail A’mal (Fadhilat-fadhilat Amal Ibadah) dalam Islam. “Tiada halangan dibuat penyiasatan ilmiah yang bersih dalam masalah khilaf dalam suasana kasih sayang di jalan Allah dan bekerjasama kearah mencapai perkara yang sebenar, tanpa usaha tersebut membawa kepada perdebatan yang tercela dan taksub” (Imam Hasan Al-Banna).



Kesimpulannya ialah bangun malam dan berpuasa 14hb Syaaban adalah ibadah yang syarie jika tidak dikaitkan dengan bulan Sya’ban. Tetapi jika dikaitkan dengan bulan Sya’ban, maka yang demikian itu adalah bid’ah iltizamiah yang merupakan perkara yang boleh diperselisihkan dan bukan bid’ah yang sesat.
Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:
Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).





Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih.





Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.






Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak